Saturday, October 15, 2011

Aaron Aziz Tinggalkan Singapura Untuk Malaysia



Aktor yang dilabel hero pujaan semalaya, Aaron Aziz nekad meninggalkan negara kelahirannya Singapura selepas merasakan dia kini memiliki karier dan kehidupan sempurna di Malaysia.

“Saya sudah memohon taraf Penduduk Tetap (PR) dengan kerajaan Malaysia pada awal Ogos lalu. Saya dah bosan sebab isu warganegara sering dipersoalkan terhadap saya. Saya buat semua ini pun kerana tidak mahu menoleh ke belakang lagi.”

“Mengapa saya harus berpatah balik kepada kehidupan yang lama sedangkan saya sudah mempunyai kehidupan yang sempurna di Malaysia. Anak-anak saya pun sudah bersekolah di sini. Untuk mendapat masa depan yang lebih cerah, adalah lebih baik saya mendapatkan status penduduk tetap Malaysia,” jelas Aaron yang turut mengakui telah menjual kereta dan rumahnya di Singapura.

Jelas aktor yang berusia 35 tahun ini lagi, dia tidak kisah sekiranya keputusannya ini bakal mengundang penerimaan kurang enak buat sesetengah peminatnya di Singapura kerana apa yang penting baginya adalah keutamaan masa depan dia sekeluarga dan isu lain harus diketepikan.

“Seandainya saya diminta membuat pilihan antara kerajaan Malaysia dan Singapura, sudah tentu saya memilih kerajaan di bawah pucuk pimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak. Tidak perlu saya huraikan pelbagai alasan kerana semua sudah tahu tentang situasi di sana (Singapura).”

“Di sini rezeki saya lebih baik. Jadi tiada salahnya saya memilih menjadi penduduk tetap Malaysia. Walaubagaimanapun, permohonan saya masih belum diluluskan. Sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, saya rasa mungkin tiada masalah,” jelas aktor ini yang bakal menemui peminat teater di Istana Budaya menerusi teater “Badai Semalam” bermula 11 hingga 20 November.

Meneruskan lagi jurnal seninya, Aaron akan membintangi sebuah filem adaptasi novel, “Ombak Rindu” bergandingan dengan Maya Karin, Lisa Surihani, Bront Palarae serta bakal menjengah pawagam pada 1 Disember 2011.

0 comments:

Post a Comment

 
Design by Free WordPress Themes | Bloggerized by Lasantha - Premium Blogger Themes | Laundry Detergent Coupons