Thursday, October 20, 2011
Juliana Evans Mengaku Rapat Dengan Zizan Raja Lawak
11:33 PM
Unknown
No comments
Pada satu temu bual tidak lama dulu, dia pernah menyatakan belum bersedia untuk memikul watak berat memandangkan pengalaman lakonannya sendiri belum cukup mantap atau boleh dibanggakan.
Namun, kenyataan yang diungkapkan itu tidak bererti Juliana Sophie Johari Evans, 22, tak endah sekiranya graf lakonannya hanya statik di takuk sama.
sebelum selepas
Tentu saja dia mahukan peningkatan, cuma dia tidak mengharapkan proses perubahan berlaku secara drastik akan tetapi memadai seandainya berdikit-dikit.
Ujar gadis berbintang Taurus ini, sekian lama disogok peranan gadis kolej, dia mula teringin melakonkan watak yang mampu menyerlahkan kebolehan dirinya serta tidak disangka-sangka penonton.
“Mungkin pengarah gemar memberikan watak remaja kepada saya kerana mereka merasakan ia sesuai dengan usia serta karakter saya. Terus terang saya juga senang membawakan watak sebegini yang berkait rapat dengan kehidupan sebenar saya sebagai remaja kerana lebih mudah dijiwai.
“Cuma dari segi tawaran, saya sedar sebenarnya ramai pengarah tidak berani memberikan kepercayaan kepada saya untuk melakonkan watak berkarakter atau saya sifatkan sebagai mencabar.
“Apabila sering disogok peranan yang sama, maka timbul dakwaan kononnya lakonan saya ‘stereotype’ sedangkan saya bukan tidak berkemampuan memberikan hasil lakonan yang lebih baik, cuma saya tidak punya peluang untuk membuktikannya.
“Saya inginkan watak berbeza dan peluang ini saya dapat melalui filem Mail Lambung sedikit berbeza kerana Maria watak yang dibawakan ini memerlukan ketangkasan kerana saya difahamkan terdapat babak aksi yang harus saya tempuhi kelak,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai filem arahan Ahmad Idham yang masih di peringkat praproduksi itu, penggambarannya akan dijalankan dalam masa terdekat.
Menerusi filem itu, Jue yang mencipta nama seawal usia 12 tahun sekali lagi akan bergandingan dengan pasangan gosipnya, Zizan Raja Lawak.
Jue membayangkan penggambaran pastinya menyeronokkan dan lebih mudah dengan kehadiran Zizan kerana mereka sememangnya rapat dan saling mengenali.
“Sebelum ini kami berdua berlakon sama dalam filem Hantu Bonceng, jadi tidak sukar untuk mencari keserasian. Seronok sebab kami sekepala. Cumanya, saya bimbang jika ada babak membabitkan kami berdua, saya akan ketawa.
“Zizan tidak perlu buka mulut, tengok wajah selambanya saja pecah perut. Malah, dia tidak akan membiarkan keadaan set penggambaran sunyi,” katanya.
Mail Lambung yang diterjemahkan Idham melalui idea Zizan adalah filem kelima lakonan Jue selepas Kami The Movie, Hooperz, Adik Manja Returns (belum tayang) dan Hantu Bonceng.
Mengenai hubungannya dengan Zizan yang kini dikatakan bertambah serius bukan sekadar sahabat seperti didakwa, Jue me�ngatakan sudah lama tidak bertemu Zizan.
“Kalau ada yang masih bercakap mengenai hubu�ngan saya dan Zizan, memang saya terkejut. Sebabnya, kami sudah lama tidak berjumpa. Kalau bertemu pun atas dasar kerja saja.
“Maklumlah, Zizan sekarang tersangat sibuk, begitu juga saya terikat dengan kuliah hampir setiap hari. Sebelum ini, kami berdua sudah jelaskan status hubungan kami tidak lebih daripada kawan rapat, namun orang masih lagi menganggap kami bercinta.
“Jawapan saya mudah. Terpulang apa orang nak kata, yang penting kami berdua tahu kebenarannya,” katanya.
Selain Mail Lambung yang bakal dibintangi, Jue juga baru selesai menjalani penggambaran Tudung Tweet bersama Liyana Jasmay. Pada 14 hingga 17 Oktober lalu, pelajar jurusan Sarjana Muda Komunikasi Massa, Sunway University College, Bandar Sunway ini sempat melancong selama empat hari tiga malam di Bandar Ho Chi Minh, Vietnam.
Gadis kacukan Melayu-Inggeris itu antara selebriti bertuah apabila diundang memenuhi program AirAsia Travelogue yang bakal disiarkan menerusi TV3 tidak lama lagi.
Walaupun ramai yang menganggap Vietnam bukan destinasi pilihan, namun berbeza buat Juliana kerana negara itu juga punya keunikan dan sejarah gemilang yang tersendiri.
“Saya tidak pernah ke Vietnam dan ini adalah pe�ngalaman pertama. Dulu ibu pernah bercerita mengenai keunikan negara itu. Oleh yang demikian, saat menerima tawaran daripada AirAsia ini, saya bersetuju untuk melihat sendiri kehidupan dan budaya mereka.
“Banyak tempat kami lawati antaranya ‘Cu Chi Tunnel’ yang menjadi kubu komunis sewaktu peperangan, Mekong River Cruise dan banyak lagi. Sewaktu di Cu Chi Tunnel, saya sempat memasuki terowong bawah tanah selain menembak menggunakan senapang AK47.
“Saya berasa seronok sepanjang percutian ini dan terima kasih kepada AirAsia kerana memberikan peluang ini kepada saya,” katanya yang pernah melancong ke Eropah, Bangkok, Phuket, Jepun dan Korea."
0 comments:
Post a Comment